WANITA Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencuci perkakas, selepas dia terpaksa meninggalkan rumahnya dan berteduh di dalam khemah di Rafah, di selatan Gaza. FOTO Reuters
WANITA Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencuci perkakas, selepas dia terpaksa meninggalkan rumahnya dan berteduh di dalam khemah di Rafah, di selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Geneva: Seorang pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pihak berkuasa Israel menyiasat dakwaan penyeksaan dan penderaan terhadap rakyat Palestin yang ditahan sejak perang tercetus di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Pelapor khas PBB mengenai penyeksaan, Alice Jill Edwards berkata, beliau menerima dakwaan penderaan terhadap rakyat Palestin yang ditahan di penjara yang dikendalikan Perkhidmatan Penjara Israel dan di kem tentera Israel.

Beliau merujuk kepada anggaran bahawa beribu-ribu rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, ditahan sejak perang meletus susulan serangan Hamas terhadap selatan Israel.

Edwards memberitahu AFP bahawa beliau sudah menjalankan 'semakan menyeluruh sejak dua bulan lalu' berdasarkan pelbagai sumber, tetapi siasatannya diteruskan.

Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa menerima dakwaan kes banduan dipukul, ditahan dalam sel dengan mata ditutup dan digari untuk tempoh yang lama, tidak dapat tidur, dan diancam dengan keganasan fizikal serta seksual.

Katanya, terdapat juga laporan menunjukkan banduan diberi layanan yang memalukan, termasuk diambil gambar dan dirakam dalam keadaan yang merendahkan martabat.

Namun, Edwards, pakar hak asasi bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB tetapi tidak bercakap bagi pihak PBB berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk menentukan sama ada penderaan yang didakwa itu mungkin sistemik.

Beliau berkata, isu itu sudah dibangkitkan dengan pihak berkuasa Israel, dan meminta mereka untuk menyiasat serta membenarkan 'akses kepada pakar hak asasi manusia antarabangsa dan pemerhati kemanusiaan' selain dirinya sendiri.

"Adalah sangat penting bahawa terdapat pemeriksaan yang bebas," katanya, yang turut bimbang mengenai 'corak pelanggaran hak asasi yang ditemukan'," katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa Israel untuk 'menyiasat semua aduan dan laporan penyeksaan atau layanan buruk dengan segera, berkesan dan telus, tanpa berat sebelah.

Edwards juga menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab pada semua peringkat 'mesti dihadapkan ke muka pengadilan',

Edwards sebelum ini mengeluarkan kenyataan menuntut akauntabiliti terhadap pelbagai dakwaan jenayah yang dilakukan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober di Israel, termasuk pembunuhan, pengambilan tebusan, penyeksaan dan keganasan seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:12 PM