PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad.
PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hairulazim Mahmud


KERAJAAN akan mengkaji dengan serius laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti dilaporkan pada 2016.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat keperluan sekiranya kaedah mengukur dan pembasmian kemiskinan diamalkan perlu disemak semula.

“Kita akan kaji laporan itu, kalau perlu, kaedah mengukur kadar kemiskinan akan dinilai semula,” kata beliau kepada media di Petaling Jaya, malam ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Keempat Yayasan Perintis Malaysia (MyPrintis).

Beliau mengulas pendedahan PBB hari ini yang mendakwa, situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada apa digambarkan kerajaan.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras rendah.

Terdahulu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia berpegang teguh kepada kadar kemiskinan direkodkan pada paras 0.4 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada 2016 atau sebanyak 24,700 isi rumah.

Katanya, Malaysia mengguna pakai standard berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan PBB untuk mengukur kadar kemiskinan di negara ini.

Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan pula ditetapkan pada kadar RM980 bagi peringkat kebangsaan dan dikira berdasarkan keperluan asas isi rumah untuk hidup dalam keadaan sihat dan aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 10:32 PM