GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI dan wanita yang dipercayai mencuri dua lembu milik penduduk ditahan polis di Kampung Padang Neman, Bachok, hari ini.

Dua sekawan itu yang berusia 30 dan 35 tahun ditahan pada 4 pagi susulan kehilangan dua lembu bernilai RM5,000 di kampung itu pada 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pemilik berusia 58 tahun menambat dua lembu di sawah padi pada 1 tengah hari sebelum mendapati ternakannya hilang.

Katanya, pemilik membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan tali dipotong, sekali gus mencari ternakannya di kawasan berhampiran namun tidak temui.

“Laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bachok yang membawa kepada penahanan suspek lelaki dan wanita di sebuah rumah di kampung sama.

“Ia juga hasil maklumat penduduk kampung yang melihat kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Aminuddin berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini kita tidak tahu lokasi lembu itu disembunyikan atau sama ada ia sudah dijual. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:30 PM