GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bachok: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki menyamar sebagai polis dengan menjadikan remaja sekitar Bachok sebagai mangsa.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek ditangkap kira-kira 10 pagi selepas bergelut dengan polis apabila cuba melarikan diri ketika ditahan sewaktu menunggang motosikal di Kampung Panjang, Perupok.

"Hasil siasatan, penganggur itu mengaku melakukan tiga kegiatan jenayah pada 10, 26 dan 27 Oktober lalu, membabitkan dua kes pemerasan dan satu kes curi motosikal.

"Suspek menjadikan remaja sebagai mangsa dengan menyamar sebagai polis serta menggunakan objek tertentu untuk mengugut sebelum merampas barangan berharga mangsa," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini hari ini.

Nik Aminuddin berkata, pemeriksaan pada suspek menemui enam peluru berwarna kuning yang diisi bebola besi dan tiga pil kuda dalam poketnya dan sebatang besi menyerupai cota bersarung hitam.

“Kami percaya semua peralatan itu digunakan suspek untuk aktiviti pemerasan,” katanya.

Menurutnya, siasatan di rumah suspek di Kampung Pantai Damak pula menemui satu pistol mainan, satu kelopak pistol hitam dan satu komponen pistol mainan.

Polis turut menemui kulit buku saku dengan lambang PDRM, dompet dan kad pengenalan mangsa, nombor plat motosikal yang belum terbakar sepenuhnya serta motosikal Yamaha LC yang dileraikan di tempat pembakaran sampah di depan rumah suspek.

Turut ditemui satu telefon bimbit iPhone dan motosikal Kawasaki yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur pada 2013," katanya.

Polis sedang memburu tiga rakan suspek yang dipercayai terbabit dalam jenayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:06 PM