HISHAMUDDIN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Ruhayati ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, malam ini. FOTO Zaid Salim.
HISHAMUDDIN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Ruhayati ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, malam ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


PENDUDUK Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus mengadakan solat hajat di masjid kampung berkenaan bagi memohon Allah SWT memudahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) nelayan, Makhtar Ibrahim, 59, yang terjatuh ke laut ketika memancing, Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abd Karim berkata, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pasukan keselamatan seperti Agensi Penguasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut yang terbabit dalam SAR.

“Buat masa ini, kita berserah kepada Allah SWT selain usaha berterusan dijalankan pasukan keselamatan.

“Selain itu, saya minta jemaah surau dan masjid di kampung ini dan berhampiran melakukan solat hajat supaya mangsa segera ditemui,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa, malam ini.

Dalam kunjungan itu, Hishamuddin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada isteri mangsa, Ruhayati Awang Lah, 57, sebagai sumbangan awal bagi memberi semangat kepada isteri dan dua anak mangsa, Nur Atiqah, 24, dan Muhammad Redzuan, 21.

Makhtar yang turun ke laut bersama empat lagi nelayan termasuk tekong kelmarin dikatakan terjatuh ke laut ketika memancing berhampiran Pelantar Dulang kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada 5.30 petang.

Berita berkaitan

'Tidak putus-putus berdoa'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:36 PM