Hairulnizam (kiri) bersama rakannya, Anuar yang terapung tiga hari di laut kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Teluk Kalong.
Hairulnizam (kiri) bersama rakannya, Anuar yang terapung tiga hari di laut kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Teluk Kalong.
Oleh Shamsudin Husin

Chukai: “Selama tiga hari dua malam kami terapung di tengah laut dan terpaksa memakan ikan mentah bagi meneruskan hidup apabila kehabisan bekalan makanan yang hanya cukup untuk sehari,” kata nelayan Hairulnizam Shafee, 33, ketika ditemui di rumah keluarga di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Bukit Kuang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, kira-kira jam 5 pagi Khamis lalu, dia ke laut dari jeti nelayan Kampung Pengkalan Cicar bersama rakannya, Anuar Mohd Ali, 29, dan bercadang pulang sebaik selesai menangkap ikan pada sebelah petang, namun tiba-tiba enjin bot gentian kaca yang mereka naiki gagal dihidupkan kerana bateri lemah.

Katanya, mereka berada kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Teluk Kalong dan mengikat bot pada sebatang unjam di tengah laut bagi mengelak dihanyutkan arus.

“Selepas bermalam dalam bot, pagi Jumaat kami makan sisa makanan yang masih berbaki dibawa dan pada sebelah petang kami terasa begitu lapar dan letih menyebabkan terpaksa memakan ikan mentah yang ditangkap hingga hari kedua dan ketiga akibat kehabisan makanan.

“Hanya Tuhan tahu perasaan kami ketika itu dan tidak putus-putus berdoa supaya ada orang ternampak dan menyelamatkan kami,” katanya.

Adik mangsa, Mohd Saiful Bahri Shafee, 29, berkata, sebaik mendapati abang dan rakannya tidak pulang, dia membuat laporan polis pada pagi Jumaat di Balai Polis Chukai kerana bimbang sesuatu yang buruk menimpa mereka.

“Selain itu, pada hari ketiga apabila abang masih tidak pulang, saya meminta jemaah surau di kampung melakukan solat hajat selepas Isyak, malah ibu, Zawiyah Ngah, 57, tidak putus-putus berdoa semoga abang dan rakannya ditemui.

“Kebimbangan kami berakhir apabila abang dan rakannya ditemui sedang tidur dalam bot mereka oleh sekumpulan nelayan dari Kuala Kemaman jam 10 malam semalam (kelmarin) dan setengah jam kemudian seorang lagi abang, Susselmy, 36, pergi ke kawasan itu serta menunda bot mereka pulang ke jeti nelayan Kampung Pengkalan Cicar,” katanya.

Hairulnizam mempunyai empat anak yang berusia satu hingga lapan tahun dan Anuar, seorang duda mempunyai anak berusia satu setengah tahun bersyukur apabila mereka berjaya diselamatkan dan dapat bertemu semula dengan keluarga.

“Ketika berada di tengah laut, harapan untuk berjumpa keluarga amat tipis, namun kami bersyukur berkat doa ibu dan solat hajat, hanya dalam tempoh satu jam saya dan rakan berjaya ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:41 AM