RUHAYATI menunjukkan gambar Makhtar yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika memancing. FOTO Zaid Salim
RUHAYATI menunjukkan gambar Makhtar yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika memancing. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


“SAYA yakin suami masih hidup dan akan kembali ke pangkuan keluarga,” kata Ruhayati Awang Lah, 57, isteri kepada Makhtar Ibrahim, 59, yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut dekat Pelantar Minyak Dulang kira-kira 67.7 batu nautika dari muara Kuala Terengganu kelmarin.

Ruhayati berkata, dia yakin suaminya selamat dan tidak putus-putus berdoa, selain melakukan solat hajat bersama keluarga dan penduduk kampung supaya dia segera ditemui.

Bagaimanapun, katanya, seandainya suaminya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, dia reda dan menerima ketentuan Allah SWT.

“Kalau sudah ajalnya di laut, saya terima. Namun sebagai isteri yang sudah hampir 25 tahun hidup bersamanya, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih, apatah lagi ketika umat Islam mahu menyambut Aidiladha,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, hari ini.

Katanya, suami yang juga seorang nelayan tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas pulang dari laut Selasa lalu dan banyak membuat persiapan untuk turun semula ke laut sepanjang tiga hari berada di rumah.

“Pada malam sebelum suami ke laut, saya sempat makan durian yang dibeli menantu bersama suami,” katanya.

Ruhayati berkata, sebelum ke laut pada 6 pagi Sabtu lalu, dia dan dua anak, Nur Atiqah, 24, dan Muhammad Redzuan, 21, seperti biasa bersalaman sebelum suaminya itu ke Jeti Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Lumpur, dengan menunggang motosikal.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa suami daripada abangnya, Azhar, 58, yang keluar ke laut bersama Makhtar dengan menaiki bot lain.

“Abang bagi tahu dia nampak suami memancing tetapi dalam sekelip mata kelibat suaminya hilang kira-kira jam 5.30 petang,” katanya.

Susulan kehilangan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu bermula 11.25 pagi semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi SAR yang dikoordinasikan APMM meliputi keluasan seluas 386.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Gerakan SAR turut membabitkan sebuah aset udara jenis Bombardier, kapal KM Pekan dan kapal KM Gemia milik APMM.

“Turut terbabit dalam operasi SAR ini ialah aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:20 PM