ANTARA rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI maut dalam kebakaran yang memusnahkan 29 rumah di Kampung Batung, dekat Pinangah, dekat Tongod, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Eng Suan King @ John Philip, 63, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tongod akibat melecur hampir 90 peratus.

Kebakaran turut memusnahkan sebuah tadika dan dua kereta.

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang.

Beliau berkata, susulan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan BBBP Sandakan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi rumah berhampiran.

“Mengikut maklumat yang diterima, pasukan bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal pada 9.50 malam dan maklumat lanjut masih belum diterima berikutan lokasi kejadian tidak mempunyai jaringan komunikasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hasbi berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah kuarters klinik kesihatan turut terbakar kira-kira 15 peratus.

“Forensik JBPM masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 10:17 AM