ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa selepas api dipadamkan. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa selepas api dipadamkan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Hazsyah Abdul Rahman


Kinabatangan: Lelaki ditemui rentung selepas rumah didiaminya terbakar di Kampung Pinangah, Tongod, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, Ahmadin Mohd Zafri, 28, ditemui sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan sebaik api dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Rosemidian Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.46 tengah sebelum bergerak ke lokasi kejadian sejauh 180 kilometer bersama sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota.

“Selepas tiba di kampung berkenaan pada 3.57 petang, didapati rumah jenis tidak kekal musnah terbakar dan operasi pemadaman sisa bara kemudian dilakukan.

"Pemeriksaan lanjut menemui mayat lelaki dalam kawasan rumah berkenaan," katanya, ketika dihubungi, petang tadi.

Rosemidian berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:23 PM