FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siraj Mohd Zaini


KERAJAAN akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) kawalan penggunaan rokok elektronik atau vape dan shisha di Parlimen pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, beliau yang mengetuai jawatankuasa khas kini sedang merangka kaedah kawalan terhadap penggunaan barangan terbabit.

Menurutnya, jawatankuasa terbabit turut berperanan dengan menilai segala aspek termasuk permasalahan rokok elektronik atau vape dan shisha sekiranya tiada kawalan dilaksanakan.

“Kita sedang merangkanya (undang-undang), selain itu semua pandangan perlu diambil kira sebelum ia dibentangkan.

“Saya kira sudah tiba masanya kawalan terhadap vape dan shisha ini diperlukan, ia akan disiapkan secepat mungkin sebelum dibentang di Parlimen,” katanya pada sidang medianya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Program Gosok Gigi Berirama anjuran Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, di Klang, sehingga mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran peserta gosok gigi berirama paling ramai, iaitu 2,098 murid.

Mengulas lanjut, Dr Boon Chye berkata, penggunaan rokok elektrik atau vape memberi kesan negatif terhadap kesihatan kerana 90 peratus kandungan cecair terbabit mengandungi nikotin.

“Kesannya adalah sama seperti kes rokok dan ia sudah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan.

“Mungkin pada mulanya hisap vape ini dianggap sebagai trend terkini, namun lama kelamaan mereka akan menjadi ketagih dan menjadi perokok kronik,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan vape.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 1:44 PM