BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, ‘vape’, rokok elektronik dan shisha.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.

“Kita di kementerian sedang merangka Akta Tembakau yang akan menggarap secara keseluruhan permasalahan itu, yang sekarang ini agak terhad dan akan dibentangkan dalam waktu terdekat.

“Pada saat ini, ia dalam pemerhatian Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM dan bakal dimajukan ke kamar peguam negara dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen Communication For Behavioral Impact (COMBI) sempena Hari Denggi ASEAN dan Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bebas Denggi Kebangsaan di Seri Iskandar, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada gula-gula “Ghost Smoke” (Cool Fruit Powder) akan dimasukkan di bawah akta berkenaan, Dzulkefly berkata, produk berkenaan masih dalam siasatan.

“Produk tersebut dalam pemerhatian kami dan dalam waktu terdekat kami akan buat penjelasan atas perkara itu.

“Kita telah buat siasatan dan ujian sampel sudah kita ambil. Mungkin minggu depan kita akan dapat jelaskan posisi pendirian KKM, buat masa ini belum dapat dijelaskan dengan tuntas,” katanya.

Sementara itu, menjawab gesaan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye supaya tindakan tegas dan bersepadu diambil bagi mengatasi penularan gejala menghisap vape dan rokok elektronik dalam kalangan pelajar, beliau berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan kementeriannya akan memastikan agar isu itu diatasi.

“Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye yang mengetuai jawatankuasa khas ini sedang melihat kepada persoalan mengenai vape, shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.

“Kita perlu kepada penguatkuasaan bersama dan kita mahu khususnya menumpukan produk ini, tidak akan dapat capaian kepada pelajar sekolah iaitu di bawah 18 tahun dan saya harapkan dalam waktu terdekat, kita akan keluarkan kenyataan susulan,” katanya.

Pada majlis itu, COMBI Flat Fikri Kemaman, Terengganu dinobatkan sebagai juara kategori inovasi (lisan), COMBI Taman Desa Bidara Baling, Kedah meraih tempat pertama bagi kategori inovasi poster dan Universiti Malaysia Terengganu memenangi pertandingan IPT Bebas Denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 3:03 PM