PENGUAT KUASA DBKL mengangkut motosikal yang diletakkan di siar kaki awam kelmarin. FOTO Ihsan DBKL
PENGUAT KUASA DBKL mengangkut motosikal yang diletakkan di siar kaki awam kelmarin. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN segelintir individu meletakkan motosikal di atas siar kaki awam di sepanjang Jalan Ampang berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur mengundang padah apabila motosikal mereka diangkut pihak berkuasa dalam Operasi Angkut, kelmarin.

Dalam operasi dilakukan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula dari pagi hingga 3 petang itu, 44 motosikal dan notis kompaun dikeluarkan.

Jurucakap Unit Media DBKL berkata, operasi itu dilakukan terhadap motosikal yang diletakkan di lokasi tidak dibenarkan sekali gus menyebabkan halangan di tempat awam.

“Sikap yang mementingkan diri ini mendatangkan bahaya kepada pejalan kaki yang menggunakan siar kaki selain menyebabkan kerosakan terhadap tempat awam.

“Dalam operasi ini, 44 notis kompaun dikeluarkan di bawah kesalahan Kaedah 44, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana meletakkan kenderaan di atas siar kaki dengan nilai kompaun tidak melebihi RM300,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam operasi berasingan, DBKL menerusi Pasukan Peronda Kebersihan dan Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan (JPK) melaksanakan tindakan penguatkuasaan Operasi Bersih ke atas kenderaan berat.

Katanya, ada antara kenderaan berat dikesan melakukan kesalahan lalu lintas, kekotoran jalan awam, tiada permit laluan, tiada permit angkut bahan dan kesalahan lain di Jalan Kuching dan Jalan Sungai Besi kelmarin.

“Sebanyak 15 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi ini di bawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 serta mengikut bidang kuasa yang dikuatkuasakan DBKL.

“Individu yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM500 atau RM2,000,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 12:38 PM