Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 470 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersih dan Halang (Ops Belang) di sekitar Pusat Bandar Utara serta Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilakukan selama lima hari bermula Selasa lalu sehingga hari ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, tindakan penguatkuasaan tertumpu kepada kenderaan awam dan perdagangan yang menyebabkan halangan, melanggar syarat lalu-lintas, pencemaran serta kerosakan jalan.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, DBKL mengesan sebanyak 232 kes manakala JPJ (176 kes) dan PDRM (62 kes).

"Antara kenderaan yang dikenakan tindakan adalah enam forklift (jentera angkat), kontena (11), motosikal (151), kereta (146) dan lori (156).

"Daripada jumlah itu, 39 kenderaan dirampas kerana melakukan kesalahan lalu-lintas, parkir di siar kaki dan tersadai manakala 431 kenderaan lagi dikeluarkan notis serta kompaun," katanya dalam sidang media Ops Belang di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Anwar berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 79(2) APJ, Seksyen 26(1) APJ, Seksyen 23 APJ, Seksyen 61 APJ, Kaedah 16(1), Kaedah 12(4) dan Kaedah 44 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi berkenaan juga dilakukan susulan pemantauan dan aduan diterima mengenai aspek kebersihan dan keselamatan di sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Kita dapati ada lori yang menjatuhkan tanah, simen, pasir dan batu kecil di jalan dengan tidak mengambil langkah keselamatan kepada pengguna jalan raya lain selain menyebabkan kekotoran jalan.

"Ada juga warga asing yang didapati memandu kenderaan tanpa lesen dan mereka sudah diambil tindakan oleh pihak JPJ," katanya.

ANWAR (kanan) bersama anggota penguat kuasa JPJ dan DBKL melihat kontena yang disita ketika sidang media Operasi Belang di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee
ANWAR (kanan) bersama anggota penguat kuasa JPJ dan DBKL melihat kontena yang disita ketika sidang media Operasi Belang di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee

Selain itu, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan operasi dan aspek kebersihan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang mematuhi peraturan ditetapkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan DBKL, pekerja di pasar berkenaan adalah warga tempatan, malah peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 2:28 PM