Bot pukat rawa surong yang dirampas APPM. FOTO ihsan APMM
Bot pukat rawa surong yang dirampas APPM. FOTO ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seorang nelayan yang menangkap ikan dengan bot pukat rawa surong nekad terjun ke dalam laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri selepas panik melihat bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi, bot dibawa lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti memukat ikan secara haram menggunakan pukat rawa surong pada jarak 0.6 Batu Nautika barat Pantai Yan.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, sebaik menyedari kehadiran bot penguatkuasa APMM, nelayan terbabit memecut botnya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian terjun ke dalam laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri.

"Pemeriksan di dalam bot itu menemui peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan sebanyak tiga kilogram dirampas.

"Bot itu kemudian dibawa keJeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, aktiviti rawa surong ini akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 3:33 PM