Haziq dan Mohamed Azmin. FOTO Facebook dan Arkib NSTP
Haziq dan Mohamed Azmin. FOTO Facebook dan Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat penyebaran klip video hubungan songsang yang didakwa membabitkan seorang menteri dan pegawai timbalan menteri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, laporan polis sudah dibuat oleh pihak terbabit dan dipercayai siasatan sudah dimulakan.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya difahamkan penafian berkaitan video itu sudah ada.

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dan SKMM akan membantu jika diminta berbuat demikian,” katanya kepada media pada Majlis Malam Bersama Media Sempena Hari Raya anjuran DAP Selangor di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran video berkenaan sejak malam kelmarin sebelum Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku bahawa beliau adalah salah seorang individu yang dirakam dalam klip itu.

Kelmarin, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan dua lelaki dalam keadaan bogel melakukan hubungan sejenis di sebuah hotel.

Video lucah itu mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, namun semalam beliau menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam video berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor menegaskan bahawa DAP mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran video berkenaan.

Katanya, itu adalah tindakan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.

“Politik seperti ini tidak seharusnya didukung oleh sesiapa,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, satu mesyuarat bersama pengamal media akan diadakan Jumaat depan bagi membincangkan syor penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).

“Empat draf sudah diserahkan kepada saya dan sudah saya teliti.

“Kerana itu saya mengajak pihak media terbabit berbincang sebelum satu keputusan berkaitan penubuhan Majlis Media diumumkan selepas mesyuarat itu,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 11:16 PM