LAPORAN portal Harian Metro mengenai Haziq yang ditahan di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai Haziq yang ditahan di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI yang mengaku sebagai individu dalam video kontroversi seks sejenis, Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, dalam perjalanan untuk menaiki pesawat ke Manila, Filipina, sebelum ditahan polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, ketika ditahan suspek sudah berada di terminal pelepasan antarabangsa Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Menerusi semakan terhadap tiket penerbangannya, suspek dijadualkan berlepas ke Manila hari ini.

“Tangkapan suspek di terminal pelepasan antarabangsa itu dibuat oleh pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek dibuat mengikut empat peruntukan seksyen iaitu yang pertama Seksyen 292 Kanun Keseksaan (KK) kerana menjual atau sebagainya buku atau bahan lucah dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, peruntukan kedua mengikut Seksyen 504 KK iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Peruntukan ketiga mengikut Seksyen 377B KK kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

“Peruntukan keempat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali selain denda setiap RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas pensabitan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Haziq ditahan di KLIA
  • Muhammad Hilman pula buat laporan polis
  • Dalang penyebaran video lucah dicari
  • SKMM sedia bantu siasatan - Gobind
  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • end

    Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:28 AM