Omar (tengah) menunjukkan parang dan batang besi yang digunakan dalam insiden pergaduhan Isnin lalu. FOTO Edmund Samunting
Omar (tengah) menunjukkan parang dan batang besi yang digunakan dalam insiden pergaduhan Isnin lalu. FOTO Edmund Samunting
Fardy Bungga


SALAH faham membabitkan keropok berharga RM2 dikenalpasti punca pergaduhan yang menyebabkan kematian Abdul Shukur Abdullah, 57, dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Petagas, Putatan, Isnin lalu.

Pergaduhan itu turut menyebabkan anak mangsa berusia 31 tahun, patah kaki dan tangan selepas dibelasah dua lelaki warga Pakistan dalam insiden berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, siasatan mendapati, anak mangsa bersama cucunya yang berusia enam tahun ke kedai runcit milik suspek warga Pakistan terbabit untuk membeli keropok.

Katanya, selepas membayar dua keropok bernilai RM4.50 kepada suspek pertama dia terus beredar pulang namun ketika dalam perjalanan, mereka menyedari keropok berkenaan tidak mencukupi dan kembali semula ke kedai sama.

“Mangsa membeli sebungkus lagi keropok dan memasukkan keropok itu ke dalam plastik sama namun pembayaran dibuat kepada suspek kedua.

“Bagaimanapun, ketika keluar kedai, suspek pertama tersalah faham dan menyangka mangsa mencuri keropok berkenaan.

“Akibat daripada itu, tercetus pergaduhan antara mangsa dan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Menurutnya, insiden disedari Abdul Shukur yang terus bergegas ke lokasi untuk meleraikan pergaduhan itu namun keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan mangsa turut dibelasah.

Katanya, sebaik pergaduhan dileraikan, Abdul Shukur yang parah dihantar ke di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Omar berkata, berikutan insiden berkenaan, Proton Saga milik suspek kedua turut dibakar namun polis masih menyiasat individu terbabit.

Katanya, kedua-dua suspek warga Pakistan berusia 44 dan 30 tahun sudah ditahan dan direman sehingga esok untuk membantu siasatan.

Katanya, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh kini ditukar ke Seksyen 302 kerana membunuh.

“Mengikut laporan hospital, punca kematian mangsa disahkan akibat pendarahan ‘Subarachnoid’ otak akibat trauma pada leher.

“Selain itu, polis turut menyiasat insiden kebakaran kereta milik suspek mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api,” katanya.

Berita berkaitan

Bapa maut, anak cedera dibelasah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:57 PM