Fardy Bungga


SEBUAH pusat beli-belah di Kota Kinabalu, gempar selepas berlaku ‘pertempuran’ antara dua kumpulan, petang semalam.

Kejadian yang menyaksikan sekumpulan individu dipercayai membabitkan lebih 20 orang itu dirakam saling membaling kerusi sebelum tular di media sosial sejak malam tadi.

Rakaman berdurasi 37 saat itu dipercayai dirakam oleh pengunjung pusat beli-belah sebelum dimuat naik menerusi Facebook dan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis sudah mengenal pasti individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

Namun katanya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis akan mengesan semua individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan berkenaan.

“Setakat ini belum ada tangkapan tapi kita sudah kenal pasti individu yang terbabit. Polis minta mereka segera tampil untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati seorang pemilik kedai cedera dipukul dalam insiden berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemilik kedai berusia 29 tahun itu dikatakan diserang oleh beberapa lelaki sebelum beberapa rakan mangsa mangsa membantu dan tercetus pergaduhan.

“Setakat awal, mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebagai pesakit luar dan motif pergaduhan masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:52 AM