Fardy Bungga

Sentul: Empat lelaki berlagak tidak ubah seperti anggota kongsi gelap apabila menyerang serta menyamun seorang peniaga kedai bunga bersenjatakan tukul besi.

Dalam kejadian jam 6 pagi, Khamis lalu, mangsa dikatakan sedang mahu memulakan perniagaannya.

Bagaimanapun kumpulan suspek berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun muncul sebelum masuk ke dalam premis dengan membawa tukul besi.

Kumpulan penjenayah terbabit kemudiannya terus membelasah mangsa berusia 40-an itu sebelum melarikan beg pinggang dipakai mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan akibat dibelasah kumpulan penjenayah terbabit.

Katanya, orang awam yang menyedari kejadian itu kemudian membantu menghantar mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Dalam kejadian itu, cermin lori milik mangsa turut dipecahkan penjenayah.

“Berdasarkan laporan polis diterima, pihak kami segera menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada dua pengawal keselamatan yang berada di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, tiga suspek terbabit akhirnya ditahan di kawasan berhampiran kelmarin. Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek berusia 25 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan samun terhadap pemilik kedai bunga terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:54 AM