FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan lelaki yang mendera anak angkatnya menggunakan sudu panas di Bandar Kinrara 5, di Serdang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, tangkapan terhadap suspek yang juga penjual ikan berusia 49 tahun itu dilakukan kira-kira 10 malam tadi.

“Pemeriksaan dilakukan di rumah di Jalan Pinggiran Putra, Seri Kembangan menemui dua sudu panjang berukuran 12 inci yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.

“Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku mendera mangsa dan permohonan reman terhadap lelaki itu akan dilakukan pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, seorang lagi anak suspek berusia sembilan tahun kini berada dalam jagaan ibu suspek dan akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Mangsa yang didera pula masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun melecur di bahagian pipi, tangan, pinggang dan kaki kiri selepas didera bapa angkatnya menggunakan sudu panas.

Malah, kanak-kanak terbabit turut dipukul bapa angkatnya itu sebelum lelaki berkenaan melarikan diri sehari selepas melakukan perkara itu terhadap mangsa pada 30 Mei lalu.

Difahamkan, kanak-kanak itu didera kerana dituduh mencuri wang lelaki terbabit.

Berita berkaitan

Dera dengan sudu panas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:43 AM