LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai tiga beranak ditahan kerana disyaki mendera dua kanak-kanak.
LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai tiga beranak ditahan kerana disyaki mendera dua kanak-kanak.
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA beranak yang ditahan selepas dipercayai mendera dua kanak-kanak di rumah mereka di Pusat Bandar Puchong, Serdang, semalam, direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, permohonan reman terhadap tiga suspek termasuk seorang remaja perempuan berusia antara 13 hingga 33 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

“Mahkamah membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 20 Jun nanti bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dua kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Serdang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga beranak berkenaan ditahan selepas dipercayai mendera kanak-kanak terbabit di rumah mereka selepas menerima maklumat orang awam pada 12.48 tengah hari, semalam.

Kedua-dua mangsa yang tinggal bersama keluarga suspek sejak tujuh tahun lalu selepas ibu bapa mereka bercerai mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain kekurangan zat makanan.

Pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemui satu kayu cota, satu garpu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Berita berkaitan

'3 beranak dipercayai bersekongkol dera budak'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 3:31 PM