Razalai mengutip sampah ditinggalkan di atas pagar di taman rekreasi Dataran Shah Bandar, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Razalai mengutip sampah ditinggalkan di atas pagar di taman rekreasi Dataran Shah Bandar, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Keseronokan berbuka puasa di Dataran Shahbandar dan Pesisir Payang, di sini, mengundang suasana tidak selesa apabila sampah sarap dan sisa makanan dilonggokkan menyebabkan kawasan itu berbau busuk.

Tinjauan mendapati longgokan sampah termasuk bekas makanan dan botol minuman bukan saja ditinggalkan di atas padang, sebaliknya di atas bangku dan tangga yang mengadap muara sungai Terengganu.

Seorang pekerja kontrak, Mohd Hatar Che Aziz, 57, berkata setiap hari antara 30 hingga 100 plastik seberat kira-kira tiga kilogram (kg) setiap satu dikutip di luar tong sampah sejak bermula Ramadan, Selasa lalu.

Bagaimanapun, katanya, kutipan sampah dan sisa makanan ditinggalkan meningkat antara 90 hingga 150 plastik pada musim cuti.

"Saya dan seorang lagi rakan mengambil masa antara empat dan lima jam sehari untuk mengutip dan mengangkut sampah ditinggalkan di dalam taman di kawasan Pesisir Payang," katanya.

Mohd Hatar berkata, kerja mengutip dan mengumpul sampah termasuk sisa makanan dilonggokkan orang ramai dilakukan selepas selesai menunaikan solat subuh.

"Kerja pembersih dalam taman di kawasan Pesisir Payang terpaksa disiapkan sebelum jam 12 tengahari kerana lokasi itu dikunjungi pelancong untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan jambatan angkat," katanya.

Sementara itu, penyelia syarikat pembersihan, Wan Mohd Sharif Wan Kamal, berkata longgokan sampah terutama bekas makanan dan minuman akan dikumpul berhampiran tong sampah sebelum dimasukkan ke dalam plastik untuk dilupuskan.

"Kita anggarkan sebanyak satu metrik tan sampah ditinggalkan orang ramai yang berbuka puasa di dua taman rekreasi iaitu Dataran Shah Bandar dan di Pesisir Payang setiap hari sejak bermulanya Ramadan, Selasa lalu.

"Jumlah sampah ditinggalkan pengunjung dijangka meningkat sekali ganda jika musim cuti mingguan termasuk Jumaat dan Sabtu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:38 PM