Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Keterujaan orang ramai berbuka puasa di Dataran Shahbandar dan Pesisir Payang, di sini, dengan berlatar belakangkan pemandangan jambatan angkat atau 'draw-bridge' mencemarkan keindahan kawasan itu.

Ini berikutan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membiarkan sampah sarap dan sisa makanan dilonggokkan di tepi dan di atas padang berkenaan menyebabkan kawasan itu berbau busuk.

Tinjauan Harian Metro mendapati longgokan sampah termasuk bekas makanan dan botol minuman bukan sahaja ditinggalkan di atas padang, sebaliknya di atas bangku dan tangga yang mengadap muara sungai Terengganu.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menempatkan lebih 100 tong sampah termasuk lima tong sampah bersaiz besar di kawasan tumpuan orang ramai.

Seorang pekerja kontrak dikenali sebagai Pok Loh berkata, setiap hari antara 30 hingga 100 plastik hitam seberat kira-kira tiga kilogram (kg) setiap satu dikutip di luar tong sampah sejak bermula Ramadan.

Menurutnya, dia dan rakannya mengambil masa antara empat dan lima jam sehari untuk mengutip dan mengangkut sampah ditinggalkan di kawasan itu.

"Kerja membersih kawasan termasuk mengutip sampah ditinggalkan perlu disiapkan sebelum tengah hari berikutan cuaca panas selain kawasan itu biasanya akan didatangi pelancong untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan jambatan angkat.

"Setiap awal pagi selepas menunaikan solat Subuh, kami akan mulakan tugas mengutip sampah kerana kawasan itu turut menjadi tumpuan pelancong," katanya.

Sementara itu, Setiausaha MBKT Mohd Sukeri Ibrahim berkata, longgokan sampah di beberapa lokasi berpunca daripada sikap orang ramai sengaja melonggokkan buangan terbabit walaupun tong sampah sudah disediakan.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan segera menyelesaikan laporan mengenai tapak bazar Ramadan yang dipenuhi lalat.

"Siasatan mendapati punca utama kawasan itu dipenuhi lalat dan berbau busuk disebabkan sikap orang ramai dan peniaga yang membuang sampah terutama bekas minuman di luar tong sampah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 12:23 PM
Longgokan sampah diluar tong sampah ditinggalkan orang ramai selepas berbuka puasa. FOTO BAHAROM BAKAR
Longgokan sampah diluar tong sampah ditinggalkan orang ramai selepas berbuka puasa. FOTO BAHAROM BAKAR