SUKARELAWAN Chow Kit Youth berkumpul bersama sampah yang dikutip.
SUKARELAWAN Chow Kit Youth berkumpul bersama sampah yang dikutip.
Zaitie Satibi


CHOW Kit antara sub daerah di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur yang sememangnya menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong berikutan ia lokasi sibuk dengan aktiviti jual beli sehingga dinihari.

Selain menawarkan barangan keperluan di pasar basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan, Chow Kit meriah dengan pasar malam yang menjual barangan terpakai dan vintaj, di samping lokasi warga kota menjamu selera.

Namun, Chow Kit yang masyhur dengan pasar dan gerai yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai itu hampir setiap hari berdepan masalah longgokan sampah di beberapa penjuru kawasan berkenaan.

Meskipun sampah dikutip pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), usaha itu tidak akan berjaya sekiranya sikap segelintir pengunjung mahupun penduduk setempat langsung tidak mementingkan aspek kebersihan dan persekitaran yang bersih.

PLASTIK sampah hitam simbolik kepada program
PLASTIK sampah hitam simbolik kepada program

Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang membuang sampah di laluan orang ramai termasuk tempat letak kenderaan menyebabkan berlaku pencemaran.

Malah, suasana yang berlaku di kawasan itu juga menimbulkan

rasa kurang senang orang ramai berikutan bukan sahaja berbau busuk, malahan timbunan sampah juga menjelikkan persekitaran.

Longgokan botol plastik, bekas polistiren dan sisa makanan berada di bawah pokok besar sekali gus mengundang persepsi negatif masyarakat luar.

Tidak mengharapkan pihak berkuasa tempatan semata-mata sama ada untuk kerja pembersihan mahupun mengambil tindakan tegas, sekumpulan belia mewakili Chow Kit Youth tampil menjalankan kerja mengutip sampah dan barangan terpakai di sekitar Chow Kit menerusi program Geng Plastik Hitam, baru-baru ini.

Pengasas Chow Kit Youth, Awaludin Jalalus Shuti berkata, program berkenaan mengumpulkan 20 sukarelawan bagi menjalankan aktiviti mengutip sampah sekitar kawasan terbabit dan ia adalah kerja sosial yang dianjurkan di bawah pertubuhan belia itu.

PAKAIAN buruk yang dibuang merata-rata dikumpulkan semula.
PAKAIAN buruk yang dibuang merata-rata dikumpulkan semula.

“Aktiviti mengutip sampah bermula jam 11.30 malam hingga 1.30 pagi dengan setiap sukarelawan membawa satu beg plastik sampah hitam yang lazim digunakan dalam kalangan domestik untuk mengumpul sampah.

“Berbanding kerja amal lain, kami mengutip sampah memandangkan isu pembuangan sampah menjadi semakin kronik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Keadaan ini boleh memburukkan imej negara kepada masyarakat luar, selain punca penularan wabak penyakit bawaan bakteria. Kotor dan mencacatkan pemandangan sesuai untuk menggambarkan keadaan kawasan Chow Kit yang penuh dengan sampah-sarap,” katanya.

Katanya, aktiviti sosial untuk mengutip sampah di sekitar Chow Kit dijalankan dengan sokongan Kindness Malaysia dan ia turut bertujuan memberi kesedaran terutama kepada golongan muda bahawa isu sampah-sarap sudah sampai tahap kronik.

“Bukan saja sampah sisa makanan dikutip, malah ada sampah berupa pakaian buruk yang dicampak sesuka hati. Biarpun tong sampah atau tempat pembuangan sampah disediakan, masih ada yang membuang sampah merata-rata.

“Pada masa sama, kami berhasrat untuk menyebarkan #CabaranKutipSampah dalam media sosial untuk mengalakkan golongan muda yang lain turut sama membersihkan kawasan mereka dan paling penting menghentikan pembuangan sampah merata-rata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:44 AM