LELAKI dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selepas tangan kirinya parah ketika bermain mercun bola di Kampung Changhai, Sik, semalam. FOTO ihsan pembaca.
LELAKI dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selepas tangan kirinya parah ketika bermain mercun bola di Kampung Changhai, Sik, semalam. FOTO ihsan pembaca.
Nor Farhani Che Ad


MANGSA parah di tangan kiri akibat letupan mercun bola di Kampung Changhai, Sik, semalam sebenarnya bermain mercun berkenaan dan bukannya letupan berlaku kerana ingin menghalau kera.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, hasil siasatan dilakukan mangsa yang berusia 34 tahun, dikatakan bermain mercun itu di Surau Kampung Sungai Semiar, Sik.

“Maklumat orang awam mengatakan lelaki yang bekerja sebagai buruh itu tercedera akibat bermain mercun di surau kampung mereka.

“Mangsa cedera di tangan dan dihantar ke Hospital Sik pada 4.20 petang semalam sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada 8.30 hari ini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak mengingatkan orang ramai supaya tidak memiliki, membeli, menjual atau bermain mercun serta ibu bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak daripada bermain mercun.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan mangsa dikatakan cedera selepas mercun bola yang ingin digunakan untuk menghalau kera meletup di dalam genggaman tangan kirinya.

Letupan berlaku selepas sumbu mercun dikatakan terkena pada nyalaan api rokok dipegang di tangan sama.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan serius pada tangan kiri apabila jari manis dan jari kelengkengnya luka teruk serta cedera di bahagian dada.

Berita berkaitan

'Nak halau kera punya pasal'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 9:31 PM