DICKY memasang tayar jentera pelbagai guna.
DICKY memasang tayar jentera pelbagai guna.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MUAR: Dicky Samit, 45, menghasilkan lebih 500 jentera pelbagai guna untuk kemudahan pekebun kecil sejak 1990.

Menariknya, Dicky yang berasal dari Bukit Naning, Muar, Johor tidak pernah mengikuti sebarang latihan kemahiran secara formal dalam bidang automotif.

“Saya didedahkan dengan inovasi ini ketika kecil iaitu sekitar 1980 di bengkel membaiki kenderaan diusahakan bapa, Samit@Zakaria Selamat, 71.

“Bapa bukan saja membaiki kenderaan, malah menghasilkan jentera pelbagai guna untuk pekebun di kampung kami,” katanya.

Menurut Dicky, ketika itu, bapanya menggunakan enjin Vespa lama sebagai jentera pelbagai guna berkenaan kerana harga yang murah selain berkuasa tinggi.

Katanya, pada 1990, dia menghasilkan jentera berkenaan sepenuh masa dan melakukan hampir keseluruhan penambahbaikan termasuk reka bentuk lebih dinamik.

Dicky berkata, dia turut beralih kepada penggunaan enjin kereta model Toyota dan Nissan keluaran 1970-an hingga 1980-an.

“Saya pilih enjin ini kerana ia lebih berkuasa dan tahan lasak selain sesuai untuk mengangkat muatan berat sehingga dua tan seperti sawit serta nanas.

DICKY menyiapkan kenderaan pelbagai guna yang ditempah pelanggan di bengkelya.
DICKY menyiapkan kenderaan pelbagai guna yang ditempah pelanggan di bengkelya.

“Antara barangan terpakai lain digunakan untuk buat jentera ini ialah enjin, tayar dan rim kenderaan pacuan empat roda.

“Saya juga guna stereng serta kerusi plastik yang diubah suai sebagai tempat duduk,” katanya.

Lebih membanggakan, jentera pelbagai guna itu dinobatkan Johan Anugerah Ilham Desa peringkat zon anjuran Institut Kemajuan Desa (INSFRA) pada 2014 dan Johan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan pada 2015 seterusnya membawa pulang RM50,000.

Menurutnya,semua barangan terpakai itu dibeli di kedai menjual alat ganti di sekitar Muar.

Manakala rangka jentera itu dihasilkan menggunakan besi selain semburan cat mengikut warna permintaan pelanggan.

“Kini saya menghasilkan jentera pelbagai guna beroda enam dengan saiz lebih besar daripada sedia ada.

“Ia siap 50 peratus manakala kapasiti muatannya lebih tinggi berbanding jentera,” katanya yang menjual jentera pelbagai guna berkenaan pada harga RM5,000 hingga RM20,000.

Ketika ini, isu utama yang dihadapi Dicky membabitkan kesukaran mendapatkan enjin dan alat ganti kereta model lama.

“Bagaimanapun, saya terus berusaha mendapatkan bekalan enjin bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

DICKY memandu uji jentera pelbagai guna dihasilkannya.
DICKY memandu uji jentera pelbagai guna dihasilkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 7:00 AM