ENJIN Nu 2.0 MPi berkuasa.
ENJIN Nu 2.0 MPi berkuasa.
PANDANGAN hadapan 1.6 Sport lebih garang.
PANDANGAN hadapan 1.6 Sport lebih garang.
Mohd Razlan Salleh


Sebut saja ‘kereta Korea’, ramai yang terfikir mengenai bentuknya yang kurang menarik, kuasa enjin tidak seberapa, kuat guna minyak dan paling utama adalah jenama yang tidak segah berbanding kenderaan buatan Jepun dan Eropah.

Lebih menakutkan lagi, orang kita terlalu memikirkan nilai jualan semula sehingga menafikan keistimewaan yang ada pada kenderaan itu sendiri.

Baru-baru ini, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) meminjamkan dua jentera Hyundai iaitu Elantra 2.0 Executive dan 1.6 Sport kepada penulis untuk dipandu uji dengan waktu dan situasi berbeza.

Namun, kedua-dua varian ini mencetuskan perasaan yang sukar digambarkan iaitu teruja terutama ketika menggenggam stereng 1.6 Sport berkuasa turbo.

Meskipun model sama, kedua-dua sebenarnya memiliki karakter masing-masing dan sasaran pembeli yang tersendiri.

Hyundai Elantra 1.6 Sport

Penulis ditawarkan model 1.6 Sport, varian paling berkuasa antara semua varian Elantra yang ada.

Ini kerana model ini dijana enjin Gamma 1.6T-GDi turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang menawarkan 204 Ps pada 6,000 rpm, manakala tork maksimum setinggi 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Padanan kotak gear transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan menjadikan penulis sukar untuk melupakan terjahan kuasa yang dihamburkan sebaik pedal minyak ditekan secara agresif.

Kuasa tork yang ada pada enjin ini sebenarnya lebih besar berbanding jentera model 1.5 turbo buatan Jepun atau jentera 1.4 turbo dari Jerman. Tidak hairanlah Elantra 1.6 Sport ini sangat mengujakan ketika menyusuri lebuh raya dari ibu kota ke Kertih, Terengganu.

Dengan mengharungi pelbagai keadaan jalan raya tanpa sebarang masalah kekurangan kuasa, perkara ini jelas membuktikan kepada penulis bahawa inilah sebenarnya yang dinamakan kereta.

Daya pecutan, tujahan dan keselesaan menyelusuri sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tidak pernah mengecewakan.

ENJIN Gamma 1.6T-GDi berkuasa.
ENJIN Gamma 1.6T-GDi berkuasa.

Mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, sistem gantungan hadapan McPherson Strut dan suspensi bebas jenis Multi-link pada gandar belakang memastikan tiada olengan atau hilang cengkaman.

Padanan tayar Hankook Ventus Prime II 225/45/R17 menjadikan cengkaman lebih kukuh dan membantu penulis mengawal jentera dengan baik. Malah, suspensi sport dibekalkan tidak terasa terlalu keras apabila mengharungi laluan tidak rata di jalan raya biasa.

Wujud tiga mod pemanduan iaitu Sport, Eco dan Normal.

Ruang dalamannya pula lebih sporty dengan susun atur papan pemuka yang kemas, panel meter lebih bergaya, selain sistem pendingin hawa dwizon automatik. Penumpang belakang juga ditawarkan corong pendingin hawa di bahagian konsol tengah.

PAPAN pemuka kemas.
PAPAN pemuka kemas.

Namun, keadaan sedikit di luar kebiasaan apabila balutan kerusi dan panel pintu daripada kulit bewarna merah kelihatan agak janggal tetapi gabungan warna hitam tampak lebih eksklusif.

Binaan luaran pula, gril hadapan lebih garang dengan jalur melintang tertera lencana ‘turbo’, menyerlahkan DNA sebenar jentera.

Lampu nyalaan siang ditempatkan berasingan bersama perumah krom berbentuk-C di kedua-dua sisi bampar.

Lampu hadapan adalah HID, manakala lampu belakang jaluran LED membentuk seakan huruf C.

LAMPU hadapan nyalaan HID.
LAMPU hadapan nyalaan HID.

Bampar belakang didatangkan bersama diffuser menempatkan salur ekzos berkembar.

Antara ciri keselamatan standard bagi varian ini termasuklah enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Kawalan Mendaki (HAC), Sistem Bantuan Brek (BAS), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Ciri lain termasuk Sistem Kemasukan Pintar dengan butang penghidup enjin, pedal shifter, pengelap cermin automatik bersama pengesan hujan dan pengesan titik buta dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

CERMIN sisi dengan lampu isyarat membelok.
CERMIN sisi dengan lampu isyarat membelok.

Dengan harga diletakkan bermula RM131,488 (tanpa insurans), sebanyak tujuh warna ditawarkan.

Nilai ini jauh lebih rendah berbanding model segmen C berenjin turbo lain dan percayalah, ini adalah kenderaan yang seronok untuk dipandu serta berbaloi dimiliki.

Hyundai Elantra 2.0 Executive

Varian yang lebih bersifat ‘kekeluargaan’ ini juga tidak mengecewakan walaupun didatangkan dengan kuasa enjin yang lebih rendah berbanding varian 1.6 Sport.

Nadi Nu 2.0L MPi menawarkan kuasa 152 PS pada 6,200 rpm, sementara daya tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

Gaya pemanduan kali ini lebih santai apabila banyak digunakan untuk berulang-alik ke pejabat dengan mengharungi kesesakan jalan raya kronik terutama ketika waktu puncak.

BAHAGIAN hadapan 2.0 Executive menarik.
BAHAGIAN hadapan 2.0 Executive menarik.

Model pandu uji varian ini lebih menarik dengan warna putih solid yang menampakkan setiap susuk kereta, sudah pastinya mendapat perhatian ramai. Walaupun saiz dan reka bentuk hampir sama dengan varian 1.6 Sport, masih terdapat perbezaan yang tidak ketara.

Varian Executive menerima gril hadapan dengan serlahan krom meliputi jalur sekeliling dan lampu kabus bersama kemasan perumah berbentuk C. Perbezaan ketara adalah lampu nyalaan siang yang terletak di dalam perumah utama selain penggunaan projektor halogen. Bahagian belakang juga tidak dibekalkan dengan diffuser menjadikan varian ini mudah dikenali.

 PERUMAH lampu belakang sporty.
PERUMAH lampu belakang sporty.

Ruang dalamannya berbeza dengan varian 1.6 Sport apabila balutan kerusi adalah gabungan suede dan kulit dengan serlahan benang merah.

Kemasan ini (suede) juga menghiasi panel pintu, manakala tombol gear dan stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit bersama jahitan benang merah.

PAPAN pemuka kemas.
PAPAN pemuka kemas.

Sepanjang tempoh pandu uji, keselesaan dialami adalah terbaik dan sesuai untuk golongan eksekutif muda sebagai kenderaan berulang-alik ke pejabat atau menghadiri tugasan di luar kota.

Kualiti material digunakan untuk ruang dalaman ini tidak jauh bezanya dengan model dari Jepun atau Eropah. Namun, sistem pendingin hawa manual dengan butang agak kecil dan jauh di sudut kiri papan pemuka menyukarkan penulis mencapainya.

DRL bersama perumah lampu utama.
DRL bersama perumah lampu utama.

Penumpang belakang masih menerima corong pendingin hawa pada konsol tengah, manakala ruang barang perehat tangan menempatkan port USB untuk mengecas gajet.

Model ini juga menerima teknologi Sistem Kemasukan Pintar dengan butang penghidup enjin, cermin pandang belakang malap automatik, kamera undur selain sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan pula, semua varian hadir dengan ABS, ESC, HAC, BAS, VSM dan enam beg udara.

RUANG but yang luas.
RUANG but yang luas.

Menyingkap aspek prestasi, penulis tidak berkesempatan menguji jentera ini di lebuh raya, namun sudah pasti sistem gantungan ringkas McPherson pada roda hadapan dan Tubular Beam pada roda belakang tidak mungkin menyamai talaan pada varian 1.6 Sport. Bagaimanapun, kedua-dua sistem gantungan ini menjalankan tugas dengan baik menyerap segala lekuk di jalan raya.

Kuasa enjin 2.0 liter dibekalkan cukup berkuasa tanpa sebarang rasa terbeban.

Kenderaan ini sesuai untuk keluarga kecil atau eksekutif muda yang mahukan kenderaan lebih praktikal, berkuasa dan lain daripada kebiasaan.

Dijual pada harga RM116,388 (tanpa insurans), tujuh warna ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 kilometer.

ENJIN Gamma 1.6T-GDi berkuasa.
ENJIN Gamma 1.6T-GDi berkuasa.

HYUNDAI ELANTRA 1.6 SPORT

• ENJIN: 1,599cc Gamma 1.6T-GDi

• KUASA MAKSIMUM: 204 PS @ 6,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 265 Nm @ 1,500 hingga 4,500 rpm

• TRANSMISI: Automatik DCT tujuh kelajuan

• SUSPENSI: McPherson Strut (hadapan), Multi-Link (belakang)

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, ESC, HAC, BAS, VSM

• HARGA: RM131,488 (tanpa insurans)

HYUNDAI ELANTRA 2.0 EXECUTIVE

• ENJIN: 1,999cc Nu 2.0L MPi

• KUASA MAKSIMUM: 152 PS @ 6,200 rpm

• TORK MAKSIMUM: 192 Nm @ 4,000 rpm

• TRANSMISI: Automatik enam kelajuan

• SUSPENSI: McPherson Strut (hadapan), Tubular Beam (belakang)

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, ESC, HAC, BAS, VSM

• HARGA: RM116,388 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:43 AM