Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kodiang: Seorang pemuda, Hisyamuddin Hashim, 22, memanfaatkan sepenuhnya kreativitinya apabila menghasilkan model diorama yang semakin diminati dalam kalangan penduduk negara ini.

Dulu dia menghasilkan replika jentera penuai padi dan jentera pembajak, kini Hisyamuddin tidak menoleh ke belakang lagi dalam menghasilkan pelbagai diorama menarik dan unik.

Diorama bermaksud model miniatur tiga dimensi (3D) yang menggambarkan sesuatu peristiwa atau keadaan berdasarkan skala kecil daripada saiz sebenar.

Menurut Hisyamuddin, sebelum ini dia menghasilkan puluhan replika jentera berdasarkan model sebenar dan mendapat tempahan daripada pengumpul replika kenderaan dari seluruh negara.

 Hisyamuddin   memberi sentuhan terakhir diorama bengkel keretanya.
Hisyamuddin memberi sentuhan terakhir diorama bengkel keretanya.

“Minat menghasilkan sesuatu objek sejak zaman sekolah lagi membuatkan saya mendalami ilmu membina diorama pula.

“Saya hanya belajar melalui Internet dan mendapat tunjuk ajar daripada mentor, Hasrat Adnan atau lebih dikenali dengan Plamo Builder di media sosial oleh pengikutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Hisyamuddin berkata, sebelum ini dia membina model diorama yang mudah dan ringkas seperti jentera pembajak melakukan kerja di sawah.

Katanya, selepas itu idea baru timbul untuk membina diorama yang lebih kompleks apabila melihat koleksi kereta mainan Hot Wheels miliknya cuma tersusun dalam almari.

“Dari situ, saya mula merangka pelan untuk membina suasana sebuah bengkel kereta,

“Memandangkan kereta itu berskala 1:64, semua peralatan lain perlu dibina mengikut skala itu bagi menampakkan keadaan sebenar,” kata pemegang Diploma Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Pusat Latihan Teknologi Tinggi Adtec Shah Alam itu.

KOLEKSI model kereta Hot Wheels  milik Hisyamuddin.
KOLEKSI model kereta Hot Wheels milik Hisyamuddin.

Menurutnya, selepas itu, dia mula membina tapak, dinding dan mengecatnya.

“Kereta Hot Wheels ini turut diubah suai dengan membina enjin dan kelengkapan bengkel yang lain yang diperbuat daripada papan polyvinyl chloride (PVC) dan pelekat jenis Epoxy Putty serta barangan terpakai seperti dawai dan tin minuman.

Hisyamuddin yang kini bekerja sebagai juruteknik penyaman udara di Hospital Kangar mengambil masa lima hari untuk membina dioramanya dan kerja itu dilakukan selepas waktu kerja.

“Membina diorama lebih mencabar daripada bina replika jentera kerana perlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi kerana setiap sekecil-kecil objek dihasilkan perlu sama dengan yang sebenar,” katanya.

Untuk lebih menarik, Hisyamuddin memasang sistem pendawaian pada diorama bengkelnya dan lampu akan menyala apabila dipasang.

Set yang lengkap dengan dua kenderaan itu dijual pada harga RM350 dan dia menerima tempahan daripada peminat dan agensi kerajaan untuk dijadikan cenderamata.

SATU daripada set  diorama yang dibina Hisyamuddin.
SATU daripada set diorama yang dibina Hisyamuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 5:32 AM