KEWUJUDAN sarang tebuan sebesar bola sepak terletak kira-kira 30 meter di atas sebatang pokok kelapa berhadapan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Nakhoda di Bagan Nakhoda Omar (BNO), sejak akhir Disember tahun lalu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEWUJUDAN sarang tebuan sebesar bola sepak terletak kira-kira 30 meter di atas sebatang pokok kelapa berhadapan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Nakhoda di Bagan Nakhoda Omar (BNO), sejak akhir Disember tahun lalu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


KEWUJUDAN sarang tebuan bersaiz bola sepak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar (BNO) di Sabak bernam, meresahkan puluhan guru, pelatih dan kanak-kanak di situ.

Difahamkan, sarang yang berada di pokok kelapa berdekatan bangunan itu disedari wujud sejak hujung Disember tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata mereka meluahkan kebimbangan berikutan sarang tebuan itu dilihat seperti akan jatuh pada bila-bila masa.

Penyelia PDK Seri Nakhoda, Normah Abas berkata, pihaknya khuatir haiwan berbisa itu menyengat kanak-kanak dan pelatih yang berada dalam bangunan berkenaan.

“Setakat ini, kami sememangnya belum menerima sebarang kes individu cedera diserang tebuan berkenaan.

“Namun, kami risau sarang itu jatuh sekiranya berlaku angin kuat atau ribut sekali gus mengundang risiko disengat terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, hari ini.

Menurutnya, bomba pernah cuba memusnahkan sarang itu, namun gagal berikutan ia berada setinggi kira-kira 30 meter di pokok berkenaan.

Kata Normah, serangan tebuan amat bahaya sehingga berupaya mengundang maut

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berwajib tampil memusnahkan sarang berkenaan sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Hassan Jureme berkata, pihaknya akan segera mencari langkah terbaik bagi menangani masalah berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berwajib dalam usaha memusnahkan sarang tebuan itu.

“Keselamatan orang awam terutama penghuni PDK itu amat diutamakan selain mengenal pasti cara terbaik bagi mengelak risiko disengat haiwan berbisa itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:30 PM