ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Paka memusnahkan sarang tebuan malam tadi. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Paka memusnahkan sarang tebuan malam tadi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


ANGGOTA bomba dan penyelamat memusnahkan sarang tebuan yang menyebabkan kematian Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, kerja memusnahkan sarang tebuan terbabit dilakukan kira-kira 10 malam.

Menurutnya, seramai empat anggota ditugaskan menjalankan kerja pemusnahan terbabit dan dilakukan pada waktu malam bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Sebelum itu kita menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian dan mendapati hanya terdapat satu sarang tebuan dan kita musnahkan," katanya.

Mohd Rezuan berkata, pihaknya turut bersedih dengan kejadian yang menimpa Nur Nazihah dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kami bersimpati dan sedih kerana kejadian yang menimpa adik Nur Nazihah dan kes ini pertama berlaku di Paka yang membawa kematian," katanya.

Katanya, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, pihaknya memusnahkan lima sarang tebuan.

"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya memusnahkan 16 sarang manakala 25 sarang dimusnahkan pada 2018.

"Kita meminta orang ramai segera melaporkan kepada bomba apabila terjumpa sarang tebuan bagi memudahkan pihak kami bertindak dengan pantas," katanya.

Dalam kejadian 3 petang, 29 Mei lalu, Nur Nazihah, 8, dan adiknya, Muhammad Azib, 6, disengat tebuan ketika bermain bersama seorang lagi kakak mereka berusia 11 tahun di kawasan semak berhampiran kediaman mereka di Felda Kerteh 4.

Mangsa disahkan meninggal jam 1.35 pagi 31 Mei ketika diberi rawatan di Hospital Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, adiknya masih menerima rawatan di hospital yang sama dan keadaannya dilaporkan stabil.

Berita berkaitan

Sakit sangat ayah, kakak tak tahan... [METROTV]

Kanak-kanak maut disengat tebuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 10:45 AM