ANGGOTA APM Padang Terap memusnahkan sarang tebuan. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA APM Padang Terap memusnahkan sarang tebuan. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


WARGA emas yang sering disengat tebuan tidak menyangka dia sebenarnya tinggal sama dua sarang tebuan di rumahnya di Padang Serai, Pokok Sena, Alor Setar.

Anak mangsa, Lokman Md Isa, 34, berkata, dia pulang selepas dihubungi ibunya Ramlah Mahmud, 75, yang memaklumkan disengat tebuan sekali lagi semalam.

“Saya mencari sekitar rumah dan ternampak dua sarang tebuan di bahagian atas rumah yang tidak lagi dihuni dan satu lagi sarang di dalam sofa lama di belakang rumah.

“Jarak antara dua sarang itu kira-kira lapan meter sahaja, patutlah selama ini ibu sering disengat serangga berbisa ini rupanya 'mereka' terlalu dekat," katanya.

Bimbang dengan keselamatan ibunya yang tinggal bersendirian, Lokman bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memusnahkan sarang terbabit.

Sementara itu, Ketua Operasi APM Padang Terap, Lans Koperal Mohd Zuki Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan 6.55 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Katanya, angin kuat menyukarkan operasi semburan racun serangga untuk menghalau dan memusnahkan sarang tebuan itu.

“Empat anggota yang dikerahkan ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memusnahkan dua sarang tebuan itu, kami tidak boleh membakar sarang itu kerana berada dalam kawasan rumah.

“APM menasihatkan supaya orang ramai sentiasa peka dengan keadaan sekeliling rumah terutama di bahagian atas rumah yang tidak dihuni kerana ia boleh mengundang serangga berbisa itu membuat sarang,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:10 AM