SARANG tebuan yang dimusnahkan anggota APM. FOTO Ramli Ibrahim
SARANG tebuan yang dimusnahkan anggota APM. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


LELAKI hanya menyedari tebuan bersarang di siling rumahnya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang apabila hampir disengat serangga itu di kepala, semalam.

Raja Hazami Raja Idris, 46, yang bekerja kampung berkata, dia sebelum itu tidak menyedari siling di ruang tamu rumahnya menjadi tempat tebuan bersarang.

"Saya sedar apabila hampir disengat tebuan di kepala dan melihat beberapa ekor serangga itu memasuki lubang kecil di atas siling ruang tamu rumah.

"Melihat itu, saya segera menelefon Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang untuk bantuan pada 11.50 pagi.

"Terkejut saya melihat sarang tebuan memenuhi bahagian siling dan sudah sebesar pinggan, mungkin sudah sebulan ia bersarang," katanya, hari ini.

Dia bersyukur sempat menyedari sarang itu, apatah lagi mempunyai anak bongsu yang berusia dua tahun.

"Jika lambat sedar, tidak tahulah apa akan jadi. Teringat saya kes kanak-kanak perempuan di Besut, Terengganu yang maut disengat tebuan dulu," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima panggilan kejadian itu pada 11.50 pagi.

Beliau berkata, tiga anggota dikejar ke lokasi dengan sebuah jentera dan berjaya memusnahkan sarang tebuan itu dalam tempoh 20 minit.

"Anggota kita terpaksa tebuk siling rumah bagi memudahkan kerja memusnahkan sarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 1:19 PM