Anggota APM melakukan operasi memusnahkan sarang tebuan di enam kampung sekitar Kuala Besut, Besut, Terengganu, malam tadi. FOTO Mohammad Ishak
Anggota APM melakukan operasi memusnahkan sarang tebuan di enam kampung sekitar Kuala Besut, Besut, Terengganu, malam tadi. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) memusnahkan sarang tebuan di enam kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam satu operasi malam tadi.

Ia membabitkan operasi di Kampung Pengkalan Atap, Tok Saboh, Kampung Lampu, Gong Tengah, Kuala Besut dan Beris Pak Abu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, peningkatan kes kanak-kanak maut disengat tebuan yang berlaku di daerah Besut mendorong orang ramai melaporkan masalah berkenaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut semalam menerima enam aduan daripada penduduk yang melaporkan terdapat sarang tebuan yang masih aktif membabitkan enam kampung di DUN terbabit.

"Ekoran laporan diterima, kita menghubungi APM bagi membantu memusnahkan sarang berbahaya itu yang mana operasi bermula 9 malam tadi diketuai pegawai APM, Lt (PA) Razali Mohamad bersama lima anggota.

"APM menggunakan skylift kerana sarang berkenaan berada di tempat tinggi termasuk di atas pokok dan rumah," katanya.

Tengku Zaihan turut berpuas hati dengan operasi yang dijalankan kerana APM mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika memusnahkan sarang berkenaan iaitu memakai pakaian khas, menggunakan peralatan memadam kebakaran yang lengkap selain turut memaklumkan terlebih dulu operasi itu kepada penduduk.

"Operasi itu terpaksa dilakukan pada waktu malam atas beberapa faktor seperti tebuan tidak aktif dan penduduk juga berada di dalam rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Dalam kejadian pertama, seorang budak lelaki berusia lapan tahun meninggal dunia selepas disengat lebih 60 tebuan ketika bermain bersama rakannya di Kampung Benting Lintang, pada 3 Ogos lalu.

Semalam, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas diserang kira-kira 30 tebuan dalam kejadian di Kampung Tok Has, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 3:35 PM