TEBUAN ditemui di celah dinding. FOTO Khalid Latip
TEBUAN ditemui di celah dinding. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


SEBUAH keluarga di Kampung Kuala Matu Hilir di Mukah, tidak menyangka bunyi ‘berdengung’ di celah dinding rumah mereka sebenarnya bunyi dari sarang ratusan tebuan yang ‘berkampung’ di ruangan itu.

Penghuni, Madie Rijie, 35, berkata mereka sekeluarga mulanya menganggap ia hanya perkara biasa apabila melihat beberapa ekor serangga berbahaya itu berterbangan dalam rumah berkenaan.

Malah, katanya, mereka sama sekali tidak menyangka di celah dinding rumah itu, terdapat ratusan tebuan bersarang di ruangan berkenaan.

“Ingatkan satu atau dua ekor, rupa-rupanya beratus. Kami cuba menghalaunya sebelum ini, namun jumlahnya terlalu banyak dan kami bimbang jika ia bertindak agresif.

“Kami khuatir jika tebuan berkenaan menyerang anggota keluarga kami, termasuk lima kanak-kanak berusia antara satu hingga lapan tahun yang turut tinggal di sini,” katanya ketika ditemui NSTP, semalam.

Bimbang dengan keselamatan keluarganya, Madie menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi meminta bantuan memusnahkan sarang tebuan itu.

Katanya, anggota APM turut menggunakan peralatan keselamatan, termasuk pakaian khas bagi mengelak disengat serangga berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi memusnahkan sarang berkenaan hanya dapat dilakukan pada waktu malam kerana serangga itu aktif pada waktu siang.

“Kehidupan kami sekeluarga kembali normal selepas sarang itu dimusnahkan. Kami berterima kasih di atas bantuan diberikan APM.

“Sudah 10 tahun kami mendiami rumah ini, malah sama sekali tidak menyangka kami berkongsi rumah dengan tebuan. Mujurlah tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:57 PM