WAKIL Kementerian Pendidikan menyerahkan surat tawaran kepada Abdul Aziz bagi membolehkan Abdul Manaf melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi UIAM selepas berkunjung ke rumah mereka di Pekan, hari ini.
WAKIL Kementerian Pendidikan menyerahkan surat tawaran kepada Abdul Aziz bagi membolehkan Abdul Manaf melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi UIAM selepas berkunjung ke rumah mereka di Pekan, hari ini.
HM Digital


NASIB Abdul Manaf Abdul Aziz yang mendapat keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 walaupun berasal dari keluarga kurang berkemampuan, mendapat perhatian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pegawai kementerian dan UPU serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkunjung ke rumah beliau di Kampung Temai Tengah, Pekan dan menyerahkan surat tawaran kepada Abdul Manaf untuk memasuki Pusat Asasi UIAM.

Beliau berkata, Abdul Manaf akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menggunakan laluan khas untuk golongan B40.

“Saya amat terharu mendengar cerita kehidupan Abdul Manaf. Ibunya meninggal dunia pada tahun lalu dan ayahnya cuma bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.

“Namun di sebalik kesempitan hidup, bapanya berjaya membesarkan Abdul Manaf menjadi insan berilmu.

“Saya mendoakan Abdul Manaf menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk mencapai cita-cita menjadi doktor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

'Saya mahu jadi doktor'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:36 PM