(gambar kiri) Abdul Manaf bersama bapanya, Abdul Aziz Osman. (gambar kanan) Wan Rosdy (lima dari kiri) bersama tujuh pelajar terpilih menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) di Wisma Sri Pahang. FOTO Zulkepli Osman.
(gambar kiri) Abdul Manaf bersama bapanya, Abdul Aziz Osman. (gambar kanan) Wan Rosdy (lima dari kiri) bersama tujuh pelajar terpilih menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) di Wisma Sri Pahang. FOTO Zulkepli Osman.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PELAJAR cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Abdul Manaf Abdul Aziz menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang hari ini.

Abdul Manaf adalah antara tujuh penerima biasiswa yang turut menerima insentif RM1,000 dalam majlis penyerahan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang.

Ketika ditemui, Abdul Manaf memaklumkan dia akan menggunakan wang itu dengan sebaik mungkin untuk mengejar cita-cita menjadi doktor.

“Gembira dan bersyukur dapat bantuan biasiswa ini. Boleh bantu saya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Buat masa ini saya sedang mempertimbang beberapa tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad (SHAH) Pekan itu yang menunggu keputusan permohonan biasiswa kerajaan dan swasta untuk membolehkannya menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Kesempitan hidup yang menjadikan usahanya ke menara gading terbantut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Abdul Manaf berkata, pertimbangannya untuk melanjutkan pengajian kini lebih menjurus kepada tawaran Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang, dalam bidang perubatan.

Katanya, sekiranya tiada apa halangan dia akan memilih melanjutkan pengajian peringkat asasi itu selama setahun dan dijangka melapor diri pada 15 Jun ini.

“Tawaran lain juga ada saya terima tetapi hati saya lebih ke arah asasi perubatan UIAM. Jika saya terima saya akan tinggal di asrama pusat pengajian itu,” katanya.

Sementara itu, enam pelajar lain yang menerima biasiswa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kong Jing Yuaan; pelajar SMK Abdul Rahman Talib, Nurin Hanis Zuhaira Norshamsulazman.

Turut menerima pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Nazira Zailan; dua pelajar SMK Dong, Nurul Syazwani Muhamed Zabidi serta Nuraqilah Atikah Mat Sarif dan pelajar SMK (P) Methodist, Kuantan Ng Ying Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:17 AM