LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Balqis Jazimah Zahari


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan rasa sedih dan bimbang apabila menerima perkhabaran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diserang angin ahmar, pagi semalam.

"Saya merasa sangat sedih dan bimbang apabila mendapat perkhabaran ayahanda Harussani diserang angin ahmar pagi semalam.

"Insya-Allah, saya akan segera pulang ke Ipoh untuk menziarahinya sebaik selesai sesi sidang Parlimen pada Khamis nanti," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bagi pihak seluruh rakyat dan jentera pentadbiran kerajaan negeri, beliau menyeru rakyat mendoakan kesembuhan Mufti Perak berkenaan.

"Saya dengan rendah hati menyeru kepada semua muslimin dan muslimat untuk sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT.

"Semoga segala urusan rawatan Ayahanda Harussani dipermudahkan dan beliau kembali sihat," katanya.

Harussani dikejarkan untuk rawatan kecemasan Hospital Pakar KPJ Ipoh, akibat serangan strok selepas solat Subuh, pagi semalam.

Setakat hari ini, keadaan kesihatan beliau yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kini beransur baik dan stabil.

Berita berkaitan

'Mufti Perak beransur baik [METROTV]'

'Harussani stabil, dipantau doktor'

'Abah mengadu tidak boleh bangun - Anak Mufti Perak'

'Mufti Perak diserang strok masuk hospital'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:25 PM