FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli


PENGAWAL keselamatan bergenang air mata apabila dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini kerana merompak telefon bimbit milik pembantu jualan, tahun lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Faizal Rismal, 28, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mafruro Malyis, 25, di hadapan RHB Bank dekat pusat beli belah Mid Valley, di Kuala Lumpur, pada 8.15 malam, 1 Oktober 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberikan pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat umum.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana menjadi penanggung tunggal bagi ibu dan anak berusia dua tahun.

Mahkamah juga membenarkan permohonan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 1 Oktober 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 1:49 PM