GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

AKIBAT menarik rambut kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun semasa menyuapnya nasi, bekas pengasuh didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Roslina Inggo, 24, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Roslina didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak itu di sebuah taska di Kuala Lumpur pada 10.51 pagi, 15 November 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang merayu hukuman denda minimum kerana anak guamnya kini tidak bekerja.

"Tertuduh masih muda, dia kini tinggal bersama abangnya. Tertuduh juga insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama, ini adalah kesalahan pertama tertuduh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan tertuduh sepatutnya melindungi mangsa kerana dia adalah penjaga kanak-kanak itu.

Ketika ditanya Emelia Kaswati, kenapa dia melakukan perbuatan itu, Roslina menjawab, "tidak sengaja".

Emilia Kaswati: Mak awak pernah buat macam itu?

Roslina: Tidak.

Emilia Kaswati: Awak mahu orang buat macam itu pada anak awak?

Roslina: Tidak

Mengikut fakta kes semasa kejadian pengadu yang tinggal berdekatan dengan taska berkenaan terdengar tangisan kanak-kanak.

Pengadu kemudian mengintai dari celahan daun tingkap dan merakam perlakuan tertuduh yang sedang menyuap nasi sambil menarik rambut mangsa.

Kanak-kanak itu dilihat menangis sambil makan lalu pengadu membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:11 PM