FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PENJUAL minyak wangi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan mendera dua anak rakannya, sehingga mangsa melecur pada bahagian kaki mangsa, tahun lalu.

Wanita berusia 37 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendera dengan mencucuh penyepit besi panas ke atas dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia 12 tahun enam bulan dan sembilan tahun lima bulan sehingga menyebabkan kesan melecur iaitu pada bahagian kaki kiri dan kanan mereka.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Kuchai Maju 2, Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, Kuala Lumpur, pada 12 tengah malam, antara 11 Jun hingga 29 Oktober 2018.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 4:17 PM