FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG bekas pekerja bengkel dijatuhi hukuman penjara 40 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah merompak dompet dan dua telefon bimbit milik seorang lelaki, pada September tahun lalu.

Tertuduh didakwa merompak barangan milik Low Phak Weng, 32, dengan bersenjatakan sebatang pemutar skru, di tempat letak kereta, sebuah pasar raya di Cheras di sini, pada 10.29 malam, 30 September lalu bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memerintahkan Muhammad Syamirul Fahmy Muhamad Shahharudeen, 20, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 17 Oktober tahun lalu.

Dia dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Emelia Kaswati ketika menjatuhkan hukuman turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya pada masa akan datang memandangkan usianya yang masih muda dan perlu melakukan perkara bermanfaat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad sementara tertuduh diwakili peguam K. A. Ramu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 6:45 PM