Rafidah Mat Ruzki


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, menetapkan 27 Mac depan untuk keputusan permohonan jaminan bagi dua tertuduh juvana kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam bela, LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik serta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin.

Katanya, beliau perlu meneliti hujahan dan afidavit yang difailkan kedua-dua pihak.

“Saya memerlukan masa kerana kes ini rumit dan penting,” katanya.

Sebelum itu, Hisham ketika berhujah berhubung permohonan jaminan itu berkata, kedua-dua tertuduh juvana berkenaan pelajar cemerlang akademik, kokurikulum dan sukan di sekolah elit di ibu negara, selain mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau menjelaskan, tertuduh juvana berusia 14 tahun itu juga pernah menjadi juara dalam acara sukan memanah.

Menurut Hisham, ada juga surat sokongan daripada sekolah yang menyatakan kedua-dua tertuduh juvana itu pelajar baik dan tidak memalukan sekolah.

Beliau berkata, tertuduh juvana yang berusia 16 tahun sembilan bulan pula akan menduduki peperiksaan tahun ini.

Katanya, pada tarikh terdahulu, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah mengenai aduan tertuduh juvana berusia 14 yang menyatakan dia mengalami serangan seksual dan fizikal.

Sementara itu, Jamil berkata, kedua-dua tertuduh juvana itu didakwa dengan pertuduhan yang tidak boleh jamin.

Katanya, tidak ada alasan luar biasa untuk permohonan jaminan dibuat.

Pada masa sama katanya, ada percanggahan antara laporan polis pada 12 Mac lalu mengenai dakwaan serangan seksual dan fizikal terhadap tertuduh juvana berusia 14 tahun dengan afidavit difailkan semalam.

Selain itu, katanya, pengetua asrama kebajikan di Kuala Lumpur ada memfailkan afidavit menyatakan bapa kandung tertuduh juvana itu dibenarkan menemui anaknya dalam tiga pertemuan pada 5, 8 dan 11 Mac lalu, selama 30 minit.

Bagaimanapun, katanya, selepas ketiga-tiga pertemuan itu, bapa kandungnya tidak ada memaklumkan kepada pengetua mengenai aduan remaja itu dipukul dan sebagainya, sebaliknya berterima kasih kerana membenarkan dia menemui anaknya.

Beliau juga berhujah, sebagai seorang yang celik undang-undang, bapa kandung tertuduh juvana itu sepatutnya melaporkan kejadian anaknya menerima serangan seksual kepada polis dan bukan mengadu di mahkamah.

Pada 12 Mac lalu, balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh lelaki itu, Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dan 13 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Ab Karim .

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di Mutiara Homes, antara 11.30 malam 13 Jun hingga 4 pagi 14 Jun tahun lalu.

Berita berkaitan

Sangkal dakwaan...Penjara Malaysia tiada bilik gelap

'Saya tidak buat'

Balu, dua remaja tak mengaku bunuh Nazrin

Dah terima laporan bedah siasat kedua

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:08 PM