TERTUDUH juvana ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada prosiding sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
TERTUDUH juvana ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada prosiding sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
Iskandar Shah Mohamed


MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam, hari ini membenarkan permohonan jaminan ke atas dua tertuduh juvana bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan kedua-dua remaja lelaki berusia 16 dan 13 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Beliau juga mengenakan lapan syarat jaminan tambahan termasuk tertuduh tidak boleh dijamin oleh ahli keluarga yang akan menjadi saksi pendakwaan atau tinggal bersama mereka.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, kedua-dua tertuduh perlu berada di kediaman mereka antara 6 petang hingga 6 pagi setiap hari, kecuali atas alasan keagamaan dan pembelajaran.

“Mereka juga tidak dibenarkan meninggalkan daerah kediaman mereka selain ke luar negara, selain tidak boleh dijamin oleh ahli keluarga yang akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

Terdahulu, Ab Hakim berkata, andaian tidak bersalah masih berpihak kepada dua tertuduh juvana itu.

“Memberi jaminan terhadap kes bunuh bukanlah satu amalan luar biasa bagi mahkamah. Namun, mahkamah bersetuju bahawa kedua-dua tertuduh tidak akan menghilangkan diri atau mengganggu saksi sepanjang kes perbicaraan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin, manakala tertuduh diwakili peguam LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 12 Mac lalu, balu Allahyarham Nazrin serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, atas pertuduhan membunuh lelaki itu, Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, dan remaja itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Ab Karim.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:38 PM