Muhaamad Hafis Nawawi


Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki berhubung pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, pihak pendakwaan hanya membuat andaian ketiga-tiga tertuduh berada dengan mangsa ketika kejadian sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Menurutnya, mahkamah mendapati tiada keadaan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan.

"Tiada keadaan di mana ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan.

"Ada saksi juga kata mangsa meninggal dunia sebelum kebakaran. Keterangan saksi tiada tanda mangsa cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran tetapi kedudukan puncanya menunjukkan kebakaran adalah disengajakan," katanya.

Menyentuh isu petrol di lokasi kejadian, saksi pendakwaan menyatakan terdapat tong berisi cecair.

Bagaimanapun mahkamah mendapati tidak menunjukkan kaitan tong itu dengan ketiga-tiga tertuduh malah Ahli Kimia tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan.

Ab Karim berkata, masa kematian Nazrin seperti didakwa pihak pendakwaan adalah bertentangan dengan keterangan saksinya sendiri.

"Keterangan saksi itu juga tidak tegas dan tidak meyakinkan mahkamah. Oleh itu, pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.

"Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa pendakwa gagal membuktikan teori orang terakhir (tiga tertuduh) bersama si mati (Nazrin)," katanya.

Hakim juga berkata, di dalam kes ini juga, pihak pendakwaan menggariskan beberapa kelakuan yang menjadi sebahagian daripada keterangan.

"Perlakuan tidak menghubungi pihak bomba, tiada reaksi sedih, tidak meraung dalam van jenazah… semuanya lebih kepada persepsi pihak pendakwaan dan ia tidak berkaitan, malah ada sesetangah kelakuan itu tidak dapat dijelaskan melalui saksi-saksi pendakwaan.

"Begitu juga dengan tingkah laku kanak-kanak satu yang tidak keluar rumah dan mesej WhatsApp 'What's the plan' tidak boleh diterima.

"Kelakuan kanak-kanak dua pula, mengenai telefon meletup adalah tidak jelas," katanya.

Sehubungan itu, hakim berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie maka mahkamah melepas serta membebaskan Samirah serta dua remaja itu daripada pertuduhan, katanya.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KualaLumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Berita berkaitan:

  • Kecoh pengamal media dihalang merakam gambar
  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nasib Samirah, 2 remaja diketahui pagi ini
  •  SAMIRAH (kanan) dan dua remaja lelaki tiba di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini. FOTO Faiz Anuar
    SAMIRAH (kanan) dan dua remaja lelaki tiba di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini. FOTO Faiz Anuar

    Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 10:47 AM