LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BALU kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu, dibebaskan daripada tahanan reman hari ini.

Wanita berusia 43 tahun itu dilepaskan pada jam 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Terdahulu, wanita berkenaan direman polis pada 4 September lalu selama tujuh hari sebelum disambung reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Peguam yang mewakilinya, LS Leoanard ketika dihubungi mengesahkan berhubung perkara berkenaan.

“Ya, reman tamat hari ini,”katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa setakat ini tiada pendakwaan akan dibuat terhadap anak guamnya.

Semalam, dua anak anak tiri Nazrin berusia 14 dan 16 tahun dibebaskan yang ditahan sejak Ahad lalu, dibebaskan daripada tahanan reman.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan semakan tahanan remaja itu.

Pada 3 Ogos, polis mengklasifikasikan semula kematian Nazrin sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan kesan petrol di lokasi kejadian, selain keputusan bedah siasat.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari, pada 14 Jun lalu.

Mangsa berkhidmat di Cradle Fund, iaitu syarikat bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini sejak 15 tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai CEO.

Berita berkaitan

''Dua anak tiri CEO bebas reman!''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:20 PM