NUR Aiman Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya merempuh kereta. FOTO Ihsan Pembaca
NUR Aiman Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya merempuh kereta. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris


PELAJAR Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh kereta di Chabang Empat, Tumpat, semalam.

Dalam kejadian 10.15 malam, mangsa, Nur Aiman Hakim Khairul Anuar, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Pengkalan Kubor ingin pulang ke rumahnya di Kampung Delima, Wakaf Bharu.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta memberikan isyarat untuk membelok ke kanan sebelum menghentikan kenderaannya.

“Semasa ingin membelok, mangsa yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang parah pada kepala serta patah tangan kiri meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berusia 16 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 6:31 PM