Siti Rohana Idris


TINDAKAN pemandu kereta yang memecut kenderaannya selepas diarahkan berhenti oleh pihak berkuasa di Tumpat, membawa kepada penemuan 330 karton rokok seludup.

Dalam kejadian 9.45 malam kelmarin, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan di Wakaf Zink, Chabang Empat, sebelum melihat sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, anggotanya mengarahkan pemandu supaya berhenti namun suspek terus memecut kenderaannya.

“Anggota MPV mengejar kenderaan berkenaan sejauh kira-kira lima kilometer sehingga ke Kuala Jambu.

“Kenderaan itu kemudiannya terbabas sebaik tiba di jalan mati dan pemandu bertindak mengundurkan keretanya sebelum melanggar MPV anggota,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Ab Rashid berkata, suspek kemudiannya keluar dari kereta sebelum melarikan diri dan disebabkan keadaan yang gelap, suspek berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 330 karton rokok yang dipercayai diseludup dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM29,000,” katanya.

Menurutnya pada hari sama, polis menahan tiga lelaki dalam dua kes berasingan di Kampung Bahagia, Chabang Empat dan Kampung Padang Rokma di Tumpat.

“Dalam operasi itu kita merampas heroin seberat 4.5 gram bernilai RM1,600 dan 208 botol ubat.

“Semua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan reman selama empat hari bermula semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 11:42 AM