LAPORAN portal Harian Metro mengenai rakyat Malaysia ditipu di Kemboja.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai rakyat Malaysia ditipu di Kemboja.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DITAWARKAN dengan gaji lumayan menjadi antara punca utama agensi pekerjaan ‘halimunan’ terus menjerat rakyat negara ini untuk bekerja di luar negara.

Bermula dengan kes penipuan membabitkan 47 rakyat Malaysia di Banteay Meanchey, Kemboja Disember tahun lalu sehingga kes terbaru di Monrovia, Liberia yang menyaksikan lapan turut menjadi mangsa.

Ketua Operasi Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Zamri Zaimon berkata, sudah tiba masanya satu langkah drastik perlu diambil untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia ditipu ejen pekerjaan.

Menurutnya, tindakan ‘rawat sebelum parah’ perlu dilakukan dengan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi rakyat negara ini agar tidak terus menjadi mangsa.

“Kerajaan boleh memperkenalkan visa khas khususnya untuk mereka yang pertama kali bekerja di luar negara supaya pemantauan dapat dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang mereka keluar dari negara ini, sekali gus mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

“Kejadian ini (penipuan membabitkan rakyat Malaysia) membimbangkan kerana kebanyakan mangsa terpedaya kerana ditawarkan gaji lumayan sehingga tidak mengambil berat langkah perlu diambil sebelum menerima tawaran.

“Desakan untuk hidup lebih baik kini dijadikan peluang oleh agensi pekerjaan untuk menjerat rakyat negara ini sedangkan tiada pekerjaan disediakan seperti ditawarkan,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah Datuk Seri Akhbar Satar berkata, rakyat yang ingin bekerja di luar negara dinasihatkan untuk memaklumkan kedatangan mereka kepada wakil kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Katanya, ia memudahkan bantuan diberikan sekiranya berdepan sebarang masalah atau memudahkan rakyat negara ini mendapatkan khidmat nasihat.

“Jangan mudah tertipu dengan gaji yang lumayan kerana ia sering dijadikan daya penarik agensi pekerjaan untuk menipu rakyat negara ini,” katanya yang juga Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Malaysia sebelum ini dikejutkan dengan penahanan 47 rakyatnya di sebuah penjara di Banteay Meanchey, Kemboja selepas didakwa ditipu agensi pekerjaan yang pada mulanya menawarkan pekerjaan sebagai promoter barangan elektronik.

Belum reda kes berkenaan, lapan rakyat Malaysia berjaya diselamatkan di Monrovia, Liberia selepas didakwa ditipu syarikat yang menawarkan kerja dalam sektor pembalakan dan akhirnya dibawa pulang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:43 PM