GAWAN (lima dari kiri) dan Aji (kanan) bersama enam warga Malaysia yang terkandas di Liberia akibat ditipu sindiket pekerjaan ketika tiba di KLIA. FOTO Luqman Hakim Zubir
GAWAN (lima dari kiri) dan Aji (kanan) bersama enam warga Malaysia yang terkandas di Liberia akibat ditipu sindiket pekerjaan ketika tiba di KLIA. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noor Atiqah Sulaiman


MAKAN daun ubi yang sudah kering dan kekuningan bersama garam setiap hari bagi mengalas perut kosong.

Itu kesengsaraan dihadapi lapan rakyat Malaysia terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari selepas ditipu sindiket orang tempatan yang menjanjikan gaji lumayan dalam sektor pembalakan.

Menceritakan kisah pilu itu, Gawan Masin, 41, berkata, bagi mendapatkan makanan, dia bersama rakannya Salim Tahir, 49, terpaksa menjual dua telefon bimbit dan seutas jam tangan milik mereka untuk memperoleh wang.

Menurutnya, hasil jualan jam dan telefon bimbit itu, mereka mendapat wang berjumlah USD 275 (RM1,121).

“Kami terpaksa menjual barangan berkenaan dengan harga lelong kerana kami amat memerlukan duit untuk membeli makanan.

“Pucuk ubi pula kami dapat dari tanaman berdekatan, tetapi itu pun bukanlah daun yang masih elok kerana penduduk marah kami mengambilnya. Kami cuma dapat daun yang sudah kekuningan dan kering.

“Bagaimanapun, kami tetap perlu membeli daun berkenaan. Selain itu, kami juga dikenakan caj sebanyak 30 Liberian Dollar (0.75sen) bagi mengecas telefon bimbit rakan lain, tetapi kadar dikenakan tidak sama dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyambut ketibaan semua mangsa yang terkandas itu.

Episod duka dialami semua lelaki terbabit berakhir apabila kakitangan Sime Darby menemui mangsa iaitu kira-kira sebulan selepas mereka berada di sana.

Pada masa sama, Gawan berkata, ada ketika mereka pernah menahan perut selama dua minggu berikutan bekalan makanan semakin berkurangan.

“Waktu itu kami semua sangat lapar kerana bekalan makanan sudah hampir habis, mujurlah selepas itu (kakitangan) Sime Darby yang kebetulan mempunyai perniagaan di sana menemui kami.

“Merekalah yang datang memberikan bekalan makanan sebelum membantu proses penghantaran pulang kami ke Malaysia,” katanya.

Seorang lagi tahanan, Aji Surau, 39, berkata, dia sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh Sime Darby.

“Kami makan bubur, tidur pun tidak menentu malah air pun susah nak dapat. Beras kami dapat dari Sime Darby dan jika tidak ada pihak berkenaan, kami semua akan mati,” katanya.

Selain Gawan, Aji dan Salim, lima lagi yang turut pulang ke tanah air ialah Enyang Anak Ato, 66; Untol Luyang, 58; Suhaili Gani, 39; Bon Egat, 45 serta Dingai Nyalak, 47, dan semua mangsa berasal dari Sibu dan Betong, Sarawak.

Sementara itu, Saifuddin berkata, rakyat di negara ini diingatkan untuk berhati-hati supaya tidak terus menerima tawaran bekerja di luar negara.

“Mereka yang menerima tawaran ini perlu memeriksa terlebih dahulu dengan pihak Wisma Putra sama ada benar syarikat berkenaan wujud dan ada menyediakan peluang pekerjaan di luar negara.

“Sekurang-kurangnya kita mempunyai info, sama ada logik atau tidak gaji yang ditawarkan atau betulkah mereka ada jalankan perniagaan di negara yang dinyatakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 7:01 PM