Tahanan Malaysia di Kemboja ketika menemui wakil kedutaan Malaysia, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
Tahanan Malaysia di Kemboja ketika menemui wakil kedutaan Malaysia, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman

KES penahanan 47 warganegara Malaysia di Banteay Meanchey, Kemboja akan mengambil masa untuk diselesaikan berikutan perbezaan sistem perundangan kedua-dua negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kemboja mengguna pakai sistem perundangan dari Perancis dan ia berbeza dengan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Kemboja.

“Mengenai undang-undang, Majistret yang dimaksudkan mereka tidak sama dengan ayat perundangan di sini.

“Jika di sini, (kes ke) Majistret dikira kes berkenaan sudah masuk mahkamah. Tetapi jika di Kemboja kes itu masih dalam siasatan.

“Saya sudah menghubungi Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja dan meminta bantuan kerana saya yakin 47 orang yang ditahan itu tidak terbabit dengan sebarang kesalahan.

“Sebaliknya mereka cuma menjadi mangsa penipuan pekerjaan. Tetapi dalam masa yang sama kita hormat dengan undang-undang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Antara Agensi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Putrajaya, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut seramai 47 warga Malaysia yang mencari pekerjaan di Kemboja ditahan pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Difahamkan, semua individu yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan sejurus mereka tiba di Poi Pet pada 11 Disember lalu.

Kementerian Luar sebelum ini berkata, penahanan individu berkenaan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram, namun maklumat itu hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

Berita berkaitan

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

[UPDATE] 'Mereka terpedaya di Kemboja'

Kunjungan bawa harapan tinggi'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 2:49 PM